Thursday, February 2, 2012

sesuatu yang puan tak tahu

balik sekolah, ibu jemput macam biasa. hari ni hari khamis ... hari yang paling dinanti ... bila kakak masuk dalam kereta, tutup pintu ... ibu tekan minyak dan kereta bergerak ... ibu akan tanya soalan macam biasa ...

"macam mana pendidikan seni hari ni?"
"hmm ... kakak letak kepala atas meja"
"hahh???" ibu terperanjat ... kerling dari ekor mata ... nampak muka kakak sedih. sayu. betullah, ibu baru perasan kakak tak macam selalu.
"kenapa?" tanya ibu pendek.
"kakak tak bawak beg pendidikan seni" mukanya masih murung
"ALLAH!" ibu baru perasan memang kakak tak bawak beg pendidikan seni tu. tapi tadikan semua dah sedia? ibu hanya bersoal dan berjawab dalam hati.

ibu balik ofis ibu, ambil semua beg dan barang, punch card dan balik rumah. sepanjang jalan, kakak hanya cerita tentang kawan-kawan dalam kelas pendidikan seninya.
"mama amirah tak pandai lukis bunga, jadi mama amirah printkan gambar bunga yang besar untuk amirah." ibu hanya mendengar, tapi ibu rasa ada sesuatu yang tak kena pada kakak hari itu.

petang tadi waktu jemput kakak balik sekolah, hujan turun renyai-renyai, jadi keadaan lalu lintas yang perlahan buat ibu dan kakak tiba lewat kat rumah. so malam ni ibu kata kakak tak payah pergi kelas mengaji ... akan terlewat sampai, takut ustazah dah tutup pintu rumah.

lepas mandi, memang terserlah kepelikan pada diri kakak yang ibu rasa petang tadi. lewat malam baru kakak tidur. ibu usah lembut rambut kakak, ibu cium ubun-ubun kepala kakak. walau ibu terlena sekejap tadi ... tapi ibu dapat rasa perasaan kakak hari ni.

dan lewat malam itu, ibu switch on netbook, lalu mencoret sesuatu dalam blog ibu.

puan,
hari ini anak saya pulang sekolah dengan riak sedih diwajahnya. bila saya bertanya tentang kelas pendidikan seninya hari ini, makin terserlah kesedihan itu. kesedihan yang pada awalnya tak saya sedari. 


selama 2 waktu kelas pendidikan seni hari ini, anak saya hanya diminta meletakkan kepalanya di atas meja.  hanya matanya yang melihat segala pergerakan teman-teman, sedangkan hatinya memberontak untuk turut serta dalam aktiviti hari ini.


puan, 
mungkin puan hanya nampak yang dia tidak membawa segala kelengkapan yang telah puan arahkan kepadanya sebelum ini.


tetapi, ada sesuatu yang puan tak tahu, puan tak tahu yang sejak puan beri dia senarai barangan yang perlu dibawa, setiap hari dia akan ingatkan saya tentang hal itu. yang puan tak tahu juga, selama cuti sekolah sempena tahun baru cina, setiap hari dia bercerita tentang tugasan yang bakal dia buat dalam kelas pendidikan seninya bila sesi sekolah bermula nanti.


yang puan tak tahu juga, saya tersilap menyusun alatan seninya pada hari selasa lepas kerana dia begitu teruja untuk kelas seninya kali ini. dia tertawakan saya kerana tersilap jadual. 


yang puan tak tahu juga, sejak pagi tadi, anak saya sangat bersemangat, kerana hari ini hari khamis, hari yang sangat dinanti akhirnya tiba juga. hari yang ada kelas pendidikan seni!


sayangnya, saat keluar dari rumah tengah hari tadi, dia terlupa membawa sekali beg pendidikan seninya yang saya letak betul-betul di sebelah beg sekolahnya. dan kesannya ... dia dihukum meletakkan kepalanya di atas meja sepanjang waktu pendidikan seni.


puan,
sesuatu yang paling puan tak tahu adalah .... balik sekolah, dia terus ambil beg pendidikan seninya ... keluarkan segala alatan yang puan pesan perlu di bawa hari ini ... dan dia terus membuat tugasan itu tanpa henti ... dari pukul 8 malam hingga hampir 12 tengah malam, dia buat tugasannya sendiri tanpa hiraukan saya ... 


dan mulutnya tak henti bercerita ... 


"mama amirah tak pandai lukis, jadi mama amirah printkan gambar flower yang besar untuk amirah"


"syasya dengan dania tak bawak cawan kertas macam yang cikgu suruh ... jadi mama diorang potongkan botol mineral untuk diorang"


puan,
mungkin puan masih belum faham tentang sesuatu yang puan tak tahu itu. saya ibunya, saya juga seorang guru seperti puan. apa salahnya jika waktu itu puan berikan dia tugasan lain, bukan hanya MELETAKKAN KEPALA DI ATAS MEJA.


mungkin puan boleh berikan dia sehelai kertas, agar dia boleh buat sesuatu pada kertas tersebut. masanya sepanjang waktu pendidikan seni juga tidak terbazir begitu saja. 


mungkin juga puan boleh arahkan dia membantu teman-temannya yang lain. dia beritahu saya, pada awalnya dia sedang membantu temannya Amirah menggunting gambar-gambar bunga matahari yang dibawa. apa salahnya jika dia dibiarkan terus membantu temannya itu.


dia melepaskan keterujaannya di rumah. di hadapan saya. bersungguh-sungguh dia menyiapkan tugasannya walau mungkin di mata puan ... tidak bermakna apa-apa ...


walaupun bunga yang dilukisnya hanya biasa-biasa saja di mata puan, bunga itu tetap cantik di mata saya ... kerana anak saya terdera hari ini akibat tindakan puan yang pada mata saya tidak begitu praktikal.


puan, 
sebelum dia tidur malam ini, dia beritahu saya dengan penuh semangat,
"besok kakak nak bawak bunga kakak pergi sekolah. kakak nak letak dekat belakang kelas. kakak nak kawan-kawan tengok bunga kakak"


puan takkan faham juga apa maknanya kan, puan?




ibu switch off netbook ibu, ibu pandang wajah kakak yang dah lama terlena, tapi dari bibir mungil kakak, ibu masih boleh dengar suara kakak. kakak mengingau dalam tidur ...

"besok kakak nak bawak flower kakak ni."

dan air mata ibu mengalir lagi.




Tepi Jendela,